sukan

Malapetaka landa Kelantan FC

Bekas pengurusan dan peminat pasukan Kelantan FC senada merumuskan pasukan itu kini di ambang malapetaka selepas prestasi buruk dicapai pasukan sepanjang musim ini.

Merekodkan 106 gol bolos dalam semua pertandingan musim ini, The Red Warriors (TRW) turut memecah rekod bolos 87 gol di Liga Super.

Lebih memeritkan, pasukan yang dahulunya digeruni arena bola sepak negara kini turut menjadi lubuk belasahan lawan.

Pengerusi The Red Warriors City Club, Mohd Zuki Deraman berkata, kemelut menghantui Kelantan sudah menghampiri kemuncak apabila turut tewas teruk di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu yang sebelum ini dilaungkan sebagai stadium keramat TRW.

“Isu gaji tidak dibayar, gaji tertunggak, sekatan perpindahan daripada FIFA, sebenarnya semua berpunca daripada pengurusan, lebih tepat lagi daripada Zamsaham (Norizam Tukiman.

“Betul, kelab ini milik beliau, namun harus diingat, selagi bertapak di Kelantan dan menggunakan nama TRW, maka penyokong adalah dari Kelantan walaupun bukan pemegang saham kelab,” katanya ketika dihubungi.

Bagi peminat fanatik TRW, Nik Mohd Sallehuddin Nik Abdul Razak, 45, berkata polisi kerja dalam diam yang dibuat Zamsaham akhirnya memakan diri apabila TRW semakin kritikal.

“Kita berganti ketua jurulatih tiga orang dalam musim yang sama, pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam organisasi Kelantan itu sendiri.

“Jika Kelantan kalah berterusan, kita akan turun ke M3 iaitu divisyen 3 Liga Malaysia sekali gus mengulang sejarah hitam 20 tahun lalu apabila menjadi pasukan negeri pertama turun ke Piala FAM tahun 2005 selepas mencatat kedudukan dua tangga terbawah Liga Perdana 2004,” katanya.

sumber:- BH

Bagi individu berpengalaman lebih 10 tahun mengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, dia amat sedih melihat keadaan yang dialami pasukan ketika ini dan berharap Zamsaham dapat mencari jalan penyelesaian terbaik mengangkat semula martabat TRW.