Nafuzi Zain bangga dengan persembahan anak buahnya yang muncul pasukan pertama menafikan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tiga mata selepas seri 3-3 dalam aksi penuh debaran di Stadium Darul Aman malam tadi.
Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu ternyata gembira apabila pasukannya menghasilkan tiga gol menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-36, Manuel Ott (m-50) dan Amirbek Juraboev (m-92) dan menyifatkannya sebagai gambaran sebenar yang dimahukannya selama ini.
“Saya bersyukur dengan satu mata yang berharga buat kami dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua pemain pada perlawanan yang saya rasa satu tahap berbeza dan amat menarik untuk ditonton.
“Kami melakukan persiapan sama seperti menghadapi perlawanan lain, tetapi bila kami berdepan dengan pasukan yang besar seperti JDT, fokus dan persediaan pemain dengan sendirinya akan lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan seperti malam ini.
“Selepas kami mendahului JDT pada babak pertama, saya maklumkan pemain supaya jangan perlahankan rentak permainan sebaliknya teruskan rentak mereka dan beri tekanan kepada lawan hingga ke hujung perlawanan.
“Saya puas hati pertahanan kami juga agak mantap dan ditambah pula semua bahagian bertindak dengan baik. Apa yang pemain persembahkan pada perlawanan ini memberikan kami gambaran sebenar permainan yang sepatutnya kami amalkan,” katanya.
Nafuzi juga berkata, pasukannya turut tertekan apabila berdepan JDT kerana skuad Harimau Selatan belum pernah ditewaskan musim ini malah mampu membelasah setiap pasukan yang ditemui mereka.
“Saya sedar pemain juga tertekan malam ini kerana berdepan JDT yang mempunyai kualiti tinggi dan tahap berbeza apatah lagi kami tewas 6-0 di gelanggang mereka.
“Daripada situ kami belajar supaya kekalahan besar tidak berulang dan jika kami mampu kekalkan rentak sebegini, peluang untuk kekal di kelompok atas liga lebih cerah.”
Selepas ketinggalan 2-0, JDT bangkit menerusi La’Vere Corbin-Ong (m-52) dan Heberty Fernandes (m-56) malah mendahului seketika menerusi Arif Aiman Hanapi (m-74) sebelum Kedah menyamakan kedudukan pada minit kedua masa kecederaan.
sumber:- BH
Keputusan itu juga menangguhkan seketika impian JDT untuk memastikan kejuaraan Liga Super musim ini. Kedah kekal di tangga ketiga dengan 44 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.