sukan

Teruja berdepan JDT

Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Moses Atede mahu meneruskan momentum terbaiknya bersama Sang Kenari yang akan turun Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam ini.

Beraksi di bahagian tengah, pemain kelahiran Nigeria berkata beliau teruja berdepan pendahulu Liga Super ini yang memiliki reputasi besar dalam saingan liga di Malaysia.

Semangatnya melonjak selepas meledak gol sulung untuk membantu Sang Kenari mengutip mata penuh menewaskan Penang FC 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Ogos lalu.

“Saya teruja untuk turun berdepan JDT namun apa yang lebih penting buat masa ini berjuang untuk mengakhiri saingan di tempat terbaik liga dan berusaha untuk naik ke tangga kedua.

“Kami akan berusaha mendapatkan tiga mata sama seperti apa yang kami perolehi pada aksi lalu ketika menentang Penang FC ,” katanya selepas latihan semalam.

Atede juga berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan semua pemain memandangkan Kedah mahu mengukuhkan kedudukannya di kelompok atasan liga dengan misi mengelak sebarang keciciran mata.

“Kami perlu teruskan fokus untuk mencapai keputusan yang positif dan itu matlamat utama kami dalam usaha memastikan Kedah dapat meneruskan momentum yang diharapkan,” katanya.