Sudah tiba masanya hukuman lebih berat dan kawalan keselamatan dipertingkatkan di semua venue bola sepak dalam usaha menyekat perbuatan melampau yang dilakukan segelintir penyokong selain mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Dell Akbar Khan berkata, langkah keselamatan di setiap venue perlawanan bola sepak Liga Malaysia harus diperhalusi seterusnya dihebahkan kepada umum supaya penyokong lebih menjaga tingkah laku dengan tidak bertindak sewenangnya apabila keputusan tidak menyebelahi pasukan mereka.
“FAM perlu lakukan sesuatu terutamanya mengadakan perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelaras prosedur lebih ketat apabila berlaku kejadian penyokong bertindak di luar batasan.
“Perkara paling penting adalah mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) ketika memasuki stadium bagi memastikan penyokong menjaga tingkah laku,” katanya.
Mengikut rekod, saingan Liga Super musim ini penuh dengan ‘pelbagai ragam’ apabila dilaporkan terdapat penyokong dan kakitangan kejurulatihan di pukul, insiden membakar suar serta pergaduhan.
Terbaharu adalah membabitkan penyokong Kelantan FC yang mengamuk di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV selepas pasukannya tewas kepada Selangor FC 2-11.
Selain itu Dell berkata, ketika beliau memegang jawatan di FAM pada tahun 2000 hingga 2005 menyaksikan terdapat kejadian seumpama itu namun ia hanyalah kes terpencil.
“Jika pasukan mengulangi kesalahan sama seharusnya pihak berkaitan mengenakan hukuman lebih berat. Apa yang saya tahu sepatutnya dikenakan hukuman beraksi tanpa penyokong.
sumber:- HM
“Namun, apa yang lebih menimbulkan persoalan kenapa perlu mengambil masa lama untuk mengenakan hukuman kepada pihak yang melakukan kesalahan terbabit,” katanya.