sukan

Juara Olimpik tumbang ditangan Aaron-Wooi Yik

Beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik meneruskan perjuangan bagi mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu selepas mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, sebentar tadi.

Pasangan nombor empat dunia itu tampil dengan aksi meyakinkan apabila menumbangkan juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-16, 21-18 dalam tempoh 42 minit pada pusingan ketiga di Royal Arena.

Kemenangan itu menyaksikan mereka akan membuat perhitungan dengan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, nasib berbeza dialami dua lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terkandas di pusingan ketiga.

Wei Chong-Kai Wun yang layak beraksi di kejohanan kali ini pada saat akhir susulan penarikan diri pasangan dari negara lain memberi tentangan sengit sebelum tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 16-21, 21-14, 17-21.

Yew Sin-Ee Yi pula ditunjukkan jalan keluar selepas tewas kepada gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 10-21.

sumber:- BH

Terdahulu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas kepada beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 16-21, 18-21.