Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva bertekad mahu menebus kehampaan musim lalu dengan memastikan mereka mampu membawa pulang tiga mata apabila berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.
Apa yang dikatakan Bergson itu selepas pengalaman pahit yang ditempuh musim lalu akibat dilayangkan kad merah pada perlawanan itu walaupun JDT menang 3-1 namun terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila dia di dakwa mengasari Rodney Calvin ketika penghujung babak pertama.
“Sudah tentu saya mahu tebus apa yang berlaku kerana dilayangkan kad merah sehingga rakan sepasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain dan ia detik yang cukup memilukan buat saya selepas tidak dapat beraksi pada babak kedua.
“Apapun, ia juga memberi pengajaran kepada saya supaya lebih bersabar dan akan terus konsisten bagi memberi sumbangan yang terbaik buat JDT kerana aksi menentang Kedah ibarat `final; buat kami dan jika menang, maka kejuaraan ke-10 liga menjadi milik kami.
“Ia perlawanan penting bagi kami dan persiapan yang lebih mantap akan dilakukan dalam tempoh terdekat sebelum berkunjung ke Alor Star dan seperti saya katakan ini peluang terbaik buat kami menoktahkan selaku juara tapi dengan syarat perlu menang pada perlawanan itu,” katanya.
Bergson yang kini sudah meledak 15 gol tidak menafikan aksi Stadium Darul Aman tampak mencabar tatkala skuad bimbingan Nafuzi Zain sudah pasti mendapat sokongan padu daripada penyokong Hijau Kuning tapi dia tampak optimis rakan sepasukan akan beri persembahan terbaik dan bermain cara JDT beraksi.
Katanya, bukan sahaja kekuatan fizikal yang perlu ada malah ia membabitkan kekuatan mental supaya kekal konsisten dan disiplin taktikal juga memainkan peranan penting bagi mengekalkan corak permainan JDT yang berintensiti tinggi.
sumber:- HM
“Menentang Kedah tetap sukar dan kami akan beri segalanya dalam perlawanan itu dan berusaha menguasai permainan dan bekerja keras sehingga tamat perlawanan dan apa yang penting sudah tentu perlu bersabar dan mengikut perancangan taktikal jurulatih,” kata Bergson.