sukan

Situasi Jelas jejaskan rentak permainan Kedah

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain menyifatkan permukaan padang yang keras dan tidak rata menjejaskan rentak permainan ketika aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya semalam.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan kedua-dua pasukan malah berisiko mendatangkan kecederaan jika mereka tidak mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengelakkan insiden tidak diingini.

“Keadaan padang begitu sukar bukan untuk pasukan saya sahaja. Kedua-dua pasukan bermain dalam keadaan permukaan padang keras, tidak rata dan kerap berlaku pelanggaran. Terlalu berisiko jika beraksi pada tahap sebenar.

“Jadi kita perlu berhati-hati termasuk terpaksa menukar corak permainan untuk bermain lebih selamat. Kita terpaksa ‘gamble’ bermain dengan cara itu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.

Terdahulu, gol lewat pemain import baharu KDA FC, Moses Atede pada masa kecederaan membolehkan Sang Kenari menang 2-1 yang juga kemenangan kelima berturut-turut aksi Liga Super.

sumber:- HM

KDA FC kekal menghuni tangga ketiga liga setakat ini dengan 43 mata selepas mengharungi 20 perlawanan dengan 14 kali menang, lima kekalahan dan sekali seri.