Vietnam boleh dilabel sebagai pasukan pilihan menjelang pertembungan separuh akhir Kejuaraan Bawah 23 tahun AFF (B-23) berdepan Malaysia di Stadium Rayong, petang esok.
Bagaimanapun, pengendali skuad B-23, E Elavarasan tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik untuk merantai pemain tertentu kerana baginya, Vietnam tetap ‘berbahaya’ sebagai satu unit.
“Kita berjaya layak ke separuh akhir selepas sekian lama dan pemain menunjukkan perkembangan yang positif selepas mengharungi dua perlawanan di sini.
“Dua kemenangan ini membuatkan pemain kita bertambah semangat dan kita menantikan aksi berdepan Vietnam yang juga juara bertahan daripada edisi lalu.
“Kita tahu Vietnam adalah pasukan yang baik di rantau ASEAN tetapi kita tidak melihat mereka berdasarkan pemain tertentu kerana kita perlu melihat mereka sebagai satu pasukan.
“Semua pemain mereka bagus dan sentiasa memberikan prestasi yang terbaik dalam setiap pertandingan yang mereka sertai,” kata Elavarasan.
Terdahulu, Harimau Muda menempah slot ke separuh akhir selepas mengunggul Kumpulan B hasil dua kemenangan ke atas Indonesia dan Timor Leste sementara Vietnam mengungguli Kumpulan C selepas meraih kemenangan ke atas Laos dan Filipina.
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke final Kejuaraan B-23 AFF dengan pencapaian terbaik adalah menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2005 di Thailand.
Dalam perkembangan sama, Elavarasan turut menuntut anak buahnya supaya tampil dengan aksi lebih kemas dan kekal fokus sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Kita hilang konsentrasi ketika menentang Timor-Leste sehingga dibolosi dan mereka juga bermain dengan baik untuk memberi cabaran kepada kami.
sumber:- BH
“Pemain perlu bersedia sepenuhnya untuk aksi esok (petang ini) dan kita mengharapkan perlawanna yang menarik dapat diperagakan oleh kedua-dua pasukan,” katanya.