sukan

Gol Dramatik julang Kedah

Kedah Darul Aman (KDA) FC membawa pulang tiga mata selepas Moses Atede menjaringkan gol dramatik pada minit kelima masa kecederaan bagi membantu kemenangan 2-1 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.

Atede, pemain tengah bertahan dari Nigeria yang dibeli pada jendela perpindahan kedua bulan lalu, menghukum kelalaian benteng tuan rumah bagi memastikan Sang Kenari terbang tinggi menerusi gol sulungnya bersama pasukan itu.

Pelawat mengasak sejak awal dan tonggak import KDA, Manuel Hidalgo melakukan sepakan sudut disambut Manuel Ott diikuti hantaran pendek kepada Ifedayo Olusegun yang cuba meledak gol namun ditepis penjaga gol, Azfar Arif.

Malang buat Penang apabila bola itu singgah di kaki pemain tengah, Fadzrul Danel Mohd Nizam yang melakukan tampanan mudah sekali gus membuka tirai jaringan pada minit ketujuh.

Penyerang import tuan rumah, Soony Saad kemudian merapatkan kedudukan pada minit ke-32 selepas merampas bola daripada kawalan pemain pertahanan, Mohd Akmal Zahir sebelum mudah meledak gol begitu hampir di pintu gol lawan.

Pada babak kedua, Rafael Vitor hampir mencetak gol kedua tuan rumah menerusi tandukan namun pengadil S Logeswaran membatalkan jaringan itu selepas dia dikesan menolak pemain pelawat.

Penang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Adib Abdul Ra’op dibuang padang susulan menerima kad kuning kedua pada minit ke-76.

sumber:- BH

Keputusan itu membolehkan Kedah mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga liga dengan 43 mata daripada 20 perlawanan manakala Penang kekal di tangga ke-10 dengan 19 mata.