sukan

Peluang Zii Jia lebih cerah

Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dilihat mudah untuk melepasi pusingan kedua Kejohanan Dunia menentang pemain Kanada, Brian Yang di Copenhagen, Denmark esok dengan rekod pertemuan menyaksikan kelebihan memihak kepadanya.

Dalam tiga pertemuan sebelum ini, Zii Jia yang kini berada di ranking ke-13 dunia sudah merekodkan tiga kemenangan ke atas Yang dengan kali terakhir kedua-dua mereka bertemu di Seluruh England 2022, menyaksikan Zii Jia menang straight set, 26-24, 21-11.

Seandainya berjaya menewaskan Yang yang berada di ranking ke-27 dunia, Zii Jia berkemungkinan bertemu wakil Denmark yang menjadi pilihan ke-12 kejohanan, Anders Antonsen ataupun rakan senegara, Ng Tze Yong yang pernah ditewaskannya di Terbuka Australia, baru-baru ini.

Semalam, Zii Jia berjaya menewaskan pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie di pusingan pertama 21-13, 21-15 namun baginya, bukan mudah untuk bangkit semula selepas prestasinya sebelum ini dilihat agak kurang memuaskan.

Apapun, ia dianggap sebagai sebahagian daripada proses perjalanan kariernya.

“Saya fikir sudah tentu ada naik dan turun. Saya tahu ia adalah satu proses dan mudah untuk menyatakannya tetapi ia sukar apabila kamu berada dalam proses berkenaan. Saya fikir ia akan mengambil masa, tak tahu berapa lama. Setakat ini, saya terus berusaha dan itu adalah jalan ke arah kejayaan,” kata Zii Jia.

Dalam pada itu, Tze Yong yang menewaskan pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan pertama 21-19, 26-24 bakal membuat perhitungan sulung dengan Antonsen – lawan yang berada di ranking lebih tinggi daripadanya, ke-12 dunia.

Tze Yong yang berada di ranking ke-22 dunia dalam pada itu berharap yang dirinya dapat menunjukkan peningkatan prestasi pada edisi kali ini selepas terkandas di pusingan kedua tahun lalu di tangan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin.

sumber:- BH

“Tahun lalu, saya tewas di pusingan kedua, jadi saya harap dapat menunjukkan peningkatan yang lebih baik pada kali ini,” katanya.