sukan

NSFC mula pamer belang sebenar

Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) menunjukkan kemampuan sebenar mereka apabila bangkit menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 4-2 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Hobin Jang Hobin melayakkan diri ke peringkat suku akhir dengan agregat 5-2 dan akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terlebih dulu membenam Kelantan FC dengan agregat 15-1.

Pada pertembungan malam ini, Kelantan United terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti Jose Elmer Porteria seawal minit ketiga yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Jaringan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan melalui Casagrande yang menanduk kemas bola hantaran lintang sebelah kiri oleh Mohamad Zamri Ramli sekali gus menerjah jaring menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Shahril Sa’ari pada minit keenam.

Jaringan penyamaan itu membangkitkan semangat anak buah K Devan apabila mereka terus menggandakan asakan ke kawasan kubu pelawat untuk mendapatkan gol.

Usaha mereka itu membuahkan hasil apabila R Barathkumar menjaringkan gol kedua selepas menanduk masuk bola hantaran lintang Mahali Jasuli pada minit ke-26.

Hein Thet Aung kemudian menjadikan kedudukan 3-1 selepas dia bijak memanfaatkan kesilapan bahagian pertahanan pelawat pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua,

pasukan pelawat dilihat berusaha memberikan tekanan dengan melakukan serangan bertali arus dan pemain gantian, Indra Putra Mahyuddin berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti.

sumber:- BH

Bagaimanapun, semangat pelawat terpadam apabila pemain gantian Youssef Ezzejjari melengkapkan kemenangan tuan rumah dengan gol keempat pada minit ke-86.