sukan

Komen Solari selepas ayam-ayamkan Kelantan FC

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari jelas berpuas hati dengan kemenangan besar pasukan bimbingannya yang mudah membelasah Kelantan FC 10-0 untuk layak ke suku akhir dengan agregat 15-1 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Solari berkata, langkah melakukan rombakan kecil bagi memberi ruang kepada pemain yang jarang diturunkan dalam skuad utama untuk membuktikan kredibiliti masing-masing apabila diberi peluang dan jelas mereka tidak mengecewakan malah beraksi dengan corak permainan berintensiti tinggi.

“Apa yang pemain sajikan terutama pemain yang jarang diberi peluang beraksi menggembirakan kem kejurulatihan JDT, malah latihan yang intensif dan berintensiti tinggi juga memainkan peranan penting buat pemain untuk menyerlah dalam perlawanan itu.

“Saya tidak nafikan pemain seperti Daryl Sham (George), Asyar Hadi (Shapri), Safawi (Rasid) dan Syami (Safari) menunjuk sesuatu yang menarik dalam perlawanan itu malah Daryl dan Asyar masing-masing turut menjaringkan satu gol.

“Malah pemain lain juga membentuk persefahaman mantap sehingga menyukarkan pasukan lawan melakukan serangan berbahaya dan disiplin taktikal setiap pemain juga begitu baik tanpa membuat kesilapan selain setiap set-piece yang dibuat tampak berkesan.

Bekas penolong jurulatih bawah 23 tahun Argentina itu juga memuji penampilan pertama import baharu JDT, Takahiro Kunimoto yang berjaya meledakkan dua gol apabila pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad Harimau Selatan itu.

Katanya, pemain import kelahiran Jepun itu yang berpengalaman beraksi di Liga Portugal dan perlukan masa lagi untuk memantapkan corak permainan dengan memberi lebih kerap minit permainan.

“Kuni bijak mencari ruang kosong dan bertindak pantas dengan melakukan umpanan bola yang berbahaya tatkala menyerang malah dia beberapa kali membuka ruang buat Bergson dengan lorongan bola yang menarik,” katanya.

Ditanya sama ada sasaran diletak untuk menang besar ke atas skuad kendalian Alfredo Vera selepas Terengganu FC menewaskan Kelantan FC 8-0 dalam saingan Liga Super, Solari menegaskan di dalam JDT sering bersaing dengan sendiri dan tiada sasaran untuk membelasah mana-mana pasukan.

sumber:- HM

“Bersaing dengan diri sendiri cabaran untuk setiap pemain supaya lebih bagus dan kami sentiasa menghormati mana-mana pasukan dan tiada niat untuk menang dengan jaringan malah semuanya hasil kerja keras setiap pemain JDT,” kata Solari.