sukan

FAM punca Kelantan FC dibelasah teruk

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memohon maaf atas kekalahan 0-10 The Red Warriors (TRW) kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menegaskan bahawa tiada pemilik kelab yang mahu melihat pasukan mereka tewas seperti yang dialami TRW dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia itu.

Beliau menyifatkan skuad kendalian Alfredo Vera tidak akan mengalami kekalahan seteruk itu sekiranya empat pemain import baharu mereka dapat didaftarkan.

Malah, beliau turut meluahkan kekecewaan dengan sesetengah pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwanya ada sikap pilih kasih.

“Kerana penswastaan, saya berada dalam dunia bola. Saya dah usaha bawa pasukan jurulatih baru. Coach (jurulatih) Alferado, Gonzales, Arif semua dah didaftarkan.

“Tetapi pemain import baru tak dapat didaftarkan kerana masalah teknikal sistem TMS (Transfer Matching System) yang hanya FAM sahaja boleh bantu bermula pembukaan sekatan perpindahan pada 27 Julai 2023.

“Hanya empat hari Kelantan FC ada masa mendaftar. Masalah teknikal TMS ini sangat mudah diselesaikan, tetapi hanya boleh akses selepas 4 Ogos 2023 iaitu selepas tutup pendaftaran pemain asing pada 1 Ogos 2023.

“InshaAllah, jika Kelantan boleh daftar, tentu kita tak kalah seteruk ini. Sikap double standard (pilih kasih) sesetengah pegawai FAM terhadap TRW Kelantan FC sangat mengecewakan saya.

“Saya tahu Kelantan FC akan didenda, dikenakan tindakan akan komen saya ini. Tetapi saya dah empat tahun dengan Kelantan FC, saya tahu Kelantan memang tempat untuk FAM denda. Saya dah biasa,” tulisnya di Facebook miliknya, hari ini.

sumber:- BH

Kekalahan memalukan 0-10 kepada JDT menyaksikan Kelantan tersingkir daripada pentas Piala Malaysia musim ini dengan agregat 1-15.