sukan

Tiga perlawanan hanya pelengkap jadual

Tiga lagi aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia akan berlangsung malam ini membabitkan pasukan dari kelompok atasan Liga Super didahului juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT); juara 33 kali, Selangor FC (SFC) dan Sabah FC.

JDT akan melayan kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim sementara ‘The Red Giants’ berdepan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Sabah FC menentang Kuching City FC.

Masing-masing berjaya membawa bekalan gol yang selesa di mana JDT mendahului agregat 5-1, SFC pula menang 4-1 pada aksi pertama sementara skuad ‘Badak’ mengungguli ‘tetangga Borneo’ 3-0.

Berdasarkan keputusan aksi pertama sebelum ini, aksi malam ini sebenarnya boleh dianggap ‘game over’ buat pasukan yang sedang mengejar agregat dan pertembungan berkenaan sekadar perlawanan ‘cukup syarat’.

Bukan mahu memperkecilkan kemampuan Kelantan FC, PDRM FC mahupun Kuching City FC kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak namun sejarah bola sepak memberi petanda buruk buat ketiga-tiga pasukan ini.

Berdasarkan semakan sejak 2000 membabitkan aksi kalah mati, tiada pasukan yang berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya selepas tumbang sekurang-kurangnya dengan tiga defisit gol pada aksi pertama.

Mereka berjaya mencetak jaringan pada aksi kedua namun sayangnya, jaringan yang dilakar tidak cukup untuk membantu mereka mencetuskan kebangkitan yang diperlukan untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Malah, dengan rekod jaringan yang besar pada aksi pertama, fokus tiga pasukan ini pasti lebih tertumpu kepada bagaimana untuk meminimumkan ‘kerosakan’ supaya tidak dibolosi lebih banyak gol pada malam ini.

sumber:- BH

Apapun, peluang yang ada buat tiga pasukan ini adalah mengharapkan pencabar mereka bermain secara ‘santai’ memandangkan lawan mereka sudahpun hampir sebelah kaki ke suku akhir dengan bekalan yang dibawa malam ini.