sukan

Terima kasih TMJ

Taktikal menjadi daripada ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan dan sokongan daripada pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi ‘kunci’ Fergus Tierney berjaya membantu Malaysia menjinakkan Indonesia, semalam.

Tierney yang masuk sebagai pemain gantian meledak dua gol pada minit ke-54 dan 62 untuk skuad B-23 negara bangkit menewaskan Indonesia 2-1 selepas ketinggalan menerusi jaringan Ramadhan Sananta minit ke-29 dalam aksi pembukaan Piala AFF B-23 di Stadium Rayong Provincial, Thailand.

Pemain JDT itu mendedahkan bahawa sebelum perlawanan, Elavarasan sudah memaklumkan bahawa dia perlu bersedia untuk masuk pada babak kedua dan memberikan impak kepada permainan Harimau Malaya B-23.

“Pada awalnya apabila melihat kumpulan dengan Indonesia dan Timor Leste, kami tahu kumpulan ini sangat sukar. Tetapi saya percaya dengan pasukan dan kami boleh melakukan tugas dengan baik.

“Jurulatih (Elavarasan) ada idea taktikal yang bagus dan perancangan permainan jurulatih menjadi. Indonesia pasukan yang sangat kuat, mereka baru menang pingat emas di Sukan SEA Kemboja (Mei lalu).

“Bagi perlawanan kedua (menentang Timor Leste), kami nak menang dan kami nak jadi juara kumpulan untuk ke peringkat seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas Indonesia membuka peluang cerah buat skuad Harimau Malaya B-23 untuk melangkah ke separuh akhir dan akan berdepan Timor Leste dalam aksi terakhir Kumpulan B, Selasa ini.

Sementara itu, Tierney di laman Instagram miliknya turut berterima kasih kepada Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang banyak memberi sokongan kepadanya.

sumber:- BH

“Terima kasih TMJ, ia tidak mungkin menjadi tanpa sokongan Tunku Ismail dari awal,” tulisnya di ruangan Instagram Story miliknya.