sukan

Selangor FC tumbang mengejut

Selangor mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia meskipun tewas mengejut 1-2 kepada PDRM dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah yang juga juara terbanyak Piala Malaysia iaitu 33 kali mara menerusi agregat 5-3 untuk menempah pertembungan suku akhir dengan jaguh Pantai Timur, Terengganu.

Selangor yang membawa bekalan selesa selepas merekodkan kemenangan 4-1 dalam aksi pertama sebelum ini menggandakan kelebihan itu apabila Yohandry Orozco menyudahkan umpanan menarik Noor Al Rawabdeh pada minit ke-25.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Selangor membolehkan PDRM merapatkan kedudukan secara agregat selepas Nabil Ahmad Latpi mudah menolak masuk bola hantaran Uche Agba, tujuh minit kemudian.

Selangor memperoleh beberapa peluang terhidang terutama pada lewat permainan, namun gagal menjelmakan sebarang jaringan tambahan.

Sebaliknya, PDRM mendapat gol kemenangan dalam aksi itu selepas pertahanan Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar tertampan bola hantaran Bruno Suzuki ke gawang sendiri pada masa kecederaan.

sumber:- BH

Saingan suku akhir dijadual akan berlangsung pada pertengahan dan hujung bulan depan.