sukan

Penyokong Indonesia buat hal selepas tumbang ditangan Malaysia

Fergus Tierney muncul wira skuad bawah 23 (B-23) tahun negara apabila dua golnya membolehkan Malaysia bangkit menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi permbukaan Piala AFF B-23 di Thailand, semalam.

Namun, di sebaliknya kejayaan manis itu muncul juga cerita kurang enak apabila laman Instagram pemain berusia 20 tahun itu diserang netizen dipercayai penyokong Indonesia.

Melihat kepada komen yang dibuat di Instagram Tierney, kebanyakan mereka mendakwa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-53.

Sepakan penalti yang diambil Tierney itu sendiri berjaya menghasilkan gol penyamaan dan boleh dianggap sebagai pencetus kepada kebangkitan Harimau Malaya B-23.

Situasi itu dipercayai menjadi punca penyokong Indonesia tidak berpuas hati dan lebih mengecewakan apabila ramai di antara mereka meninggalkan kata-kata kesat dan lucah di ruang komen Instagram Tierney.

Indonesia gagal menambah jaringan selepas Ramadhan Sananta meledak gol pembukaan pada minit ke-29, sebelum Tierney yang masuk sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan menerusi penalti dan menyumbang gol kemenangan Malaysia pada minit ke-62.

Walaupun pengadil memberikan masa tambahan sebanyak lapan minit, namun Indonesia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja, Mei lalu tetap buntu mencari gol penyamaan sekali gus terpaksa akur tewas 1-2.

sumber:- BH

Kekalahan itu menyaksikan peluang untuk skuad Garuda melangkah ke separuh akhir semakin tipis kerana tiga juara kumpulan dan hanya satu naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos ini.