sukan

Penghalang utama untuk Malaysia mara

‘Malapetaka’ dihadapi skuad Bawah 23 tahun (B-23) di Sukan SEA Kemboja membuka mata pemain dan juga barisan kejurulatihan untuk menunjukkan aksi yang lebih baik pada Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand.

Pengendali skuad B-23, E Elavarasan berpandangan prestasi kurang memberangsangkan di Kemboja itu jelas mendedahkan kekurangan yang dimiliki Harimau Muda dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Ini (Kejuaraan B-23 AFF) adalah kejohanan ketiga kita selepas Piala Merlion dan Sukan SEA 2023. Kegagalan di Sukan SEA menunjukkan apa yang kita kurang dan apa yang perlu kita tambahbaik supaya kita terus meningkat.

“Bukanlah satu pengajaran tetapi kita memerlukan masa dan pengalaman. Semua ini adalah proses jadi ia mengambil masa tetapi kita perlu kerja keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Semua pasukan pasti sasarkan final dan kita perlu ada sasaran kerana tidak bagus kalau tidak ada sasaran yang diletakkan,” kata Elavarasan.

Pada Sukan SEA 2023 yang berlangsung Mei lalu, skuad B-23 gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan menerusi kedudukan ketiga dalam Kumpulan B.

Dalam perkembangan sama, Elavarasan melihat Indonesia bakal menjadi lawan yang sukar buat anak buahnya terutama selepas ia dikendalikan oleh jurulatih skuad senior, Shin Tae Yong.

“Indonesia menurunkan skuad terbaik mereka dan dengan kendalian jurulatih skuad utama, pemain mereka pasti bersemangat untuk menunjukkan mereka berada pada tahap berbeza.

“Ia bukanlah aksi yang mudah tetapi semua perlawanan amat penting untuk kita. Ia satu pengalaman yang baik untuk lihat bagaimana peningkatan kita berbanding sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan B bersama Timor-Leste dan Indonesia dengan mereka akan membuka aksi berdepan Indonesia di Rayong, Jumaat ini.

sumber:- BH

Selepas itu, mereka akan menentang Timor-Leste pada 22 Ogos dan juara kumpulan akan mengesahkan tiket ke separuh akhir secara automatik.