sukan

Ketika JDT tunggu masa dinobat , tumpuan beralih kepada Selangor

Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya menunggu masa dinobatkan sebagai juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut, tumpuan terarah kepada pasukan yang bakal merebut tempat kedua.

Susulan kejayaan JDT menjulang Piala FA, naib juara Liga Super bakal mendapat slot ke pertandingan Tier 2 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Ketika ini, empat pasukan tampak berada pada landasan untuk merebut gelaran naib juara – Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC (SPFC).

BH Sukan mendapatkan pandangan bekas jurulatih dan bekas Pengarah Teknikal PDRM FC, Mohd Fauzi Pilus berkenaan senario ini.”Saya lihat SFC berpeluang menjadi naib juara berdasarkan baki perlawanan yang bakal mereka hadapi selain konsentrasi dan konsistensi ditunjukkan barisan pemain mereka.

“Dengan pemain yang dimiliki mereka untuk baki musim ini, saya lihat mereka ada keupayaan untuk menamatkan saingan liga di belakang JDT,” kata Mohd Fauzi.

SFC ada baki lima perlawanan dan akan berdepan KDA FC selain TFC yang berkemungkinan membuatkan mereka keciciran mata.

Mereka tidak berdepan masalah menentang Kelantan FC, kebangkitan Perak FC juga tidak cukup untuk mengancam SFC namun perlu berhati-hati menentang Perak FC selain berwaspada dengan PDRM FC sebagai ‘pembunuh gergasi’.

Kelebihan tetap pada SFC dengan perbezaan jaringan yang lebih besar dan mereka berada pada landasan yang terbaik untuk menjadi naib juara.

Baki musim ini akan menuntut aksi yang lebih keras daripada barisan pemain dan mereka perlu fokus supaya tidak kehilangan mata dalam baki lima perlawanan.

KDA FC sedikit tertekan kerana mereka akan bertemu SFC dan beberapa perlawanan berintensiti tinggi berdepan JDT, Sabah FC dan KL City FC.

Peluang mengutip mata penuh ialah menentang Kelantan FC dan Penang FC, namun melihat kepada perlawanan yang lain, kebarangkalian KDA FC kehilangan mata memang tinggi.

SPFC ketinggalan tiga mata di belakang KDA FC dan 10 mata di belakang SFC namun baru beraksi 19 perlawanan, sama seperti KDA FC.

Jentera serangan SPFC tidak begitu tajam dan mereka jarang memenangi aksi dengan jumlah perlawanan yang besar, jadi mereka sukar untuk mengejar daripada segi perbezaan jaringan.

SPFC tidak boleh kehilangan mata jika mahu terus menghambat kedudukan kedua namun mereka perlu berdepan JDT selain aksi yang dijangka sengit seperti menentang TFC dan juga KL City FC.

Di atas kertas, aksi mudah menentang Kelantan United dan Kuching City FC namun dengan prestasi semasa SPFC, mungkin mereka tidak dapat mengejar SFC.

sumber:- BH

Sama seperti KDA FC, saingan yang menanti SPFC di penghujung musim agak berat untuk mereka mengekalkan rentak bagi mendapatkan mata penuh.