sukan

Saham Feroz terus melonjak

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi edisi Julai.

Pemilihan pemain berusia 23 tahun itu dibuat menerusi undian peminat selepas dia tersenarai antara lima pemain paling menyerlah sepanjang aksi bulan lalu.

Feroz mengenepikan cabaran daripada tiga pemain import – Ramon Machado (Sabah), Ifedayo Olusegun (Kedah Darul Aman) dan Romel Morales (KL City) serta Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Sri Pahang).

Anugerah itu pasti melonjakkan lagi motivasi pemain berusia 23 tahun itu untuk terus membantu skuad Harimau Selatan yang kini hampir pasti mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Feroz semakin mencipta nama bersama JDT dengan mendapat kepercayaan ketua jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari untuk berada dalam kesebelasan utama skuad itu.

sumber:- BH

Pada usia muda, Feroz sudah mengecapi beberapa kejuaraan bersama JDT termasuk juara Liga Super musim lalu, Piala FA (2022 dan 2023) dan Piala Malaysia 2022.