sukan

Kim Pan-gon cabar anak buah

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mencabar anak buahnya agar tidak gentar berdepan pasukan terkuat dalam aksi antarabangsa yang akan dilalui bermula bulan depan.

Jelas Pan-gon, barisan pemainnya bakal mengharungi cabaran lebih sukar selepas ini dengan kesemua lawan dilihat cukup kuat.

Justeru, jurulatih dari Korea Selatan itu mencabar pemainnya agar memberi aksi terbaik dan cuba melakar kejutan bagi membanggakan penyokong setia skuad Harimau Malaya.

“Kita tahu menjelang September kesemua lawan kita cukup kuat dan kalau kita mahu capai peringkat tertinggi, kita perlu harungi dan melepasi halangan ini.

“Jadi kita kena mencabar diri dan tidak gentar…kita akan cuba gunakan kelebihan yang ada (apabila beraksi di gelanggang sendiri) dengan mendapatkan sokongan penyokong.

“Kita akan cuba sebaik mungkin dengan memberi persembahan terbaik dan raih keputusan untuk membuatkan peminat bola sepak Malaysia bangga dengan pasukan kebangsaan Malaysia,” katanya.

Berdasarkan keputusan sebelum ini, anak didik Pan-gon cukup cemerlang dalam beberapa siri persahabatan antarabangsa dan Kelayakan Piala Asia 2023 di mana ranking negara turut mencanak naik 18 anak tangga daripada 154 pada awal tahun lalu.

Ujian sebenar skuad negara bakal bermula pada bulan depan apabila pasukan akan terbang ke Chendu untuk menentang pasukan tuan rumah, China yang berada di ranking 80 sebelum bertemu Syria (94 dunia).

Kemudian pemain negara akan menyertai Pestabola Merdeka di halaman sendiri membabitkan tiga Palestin (96 dunia), India (99 dunia) dan Lubnan (100 dunia).

Selepas itu, Malaysia akan membuka kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan diundi dalam Kumpulan D bersama Oman (73 dunia), Kyrgyzstan (97 dunia) dan Taiwan atau Timor Leste yang kedua-duanya akan mengharungi peringkat awal kelayakan terlebih dulu.

sumber:- HM

Selain itu, skuad Pan-gon juga dijangka berdepan pasukan kuat pada Januari tahun depan dengan pasukan tangga 54 dunia, Arab Saudi yang dirancang menjadi ujian terakhir Harimau Malaya sebelum ke Piala Asia di Qatar.