sukan

Bintang muda baharu mahu Julang Kelantan

Pemain muda baharu Kelantan FC, Allee Putra Azril mengakui agak sukar untuk menembusi kesebelasan utama pasukan selain perlu bekerja lebih keras mendapatkan minit permainan lebih lama.

Selepas dua musim bersama Akademi Malaga City di Sepanyol, Allee tidak mahu melepaskan peluang terbaik untuk menimba pengalaman bersama kelab ini dan tetap berbangga dapat beraksi dengan pasukan negeri kelahirannya itu.

Katanya, misinya kini adalah untuk membuktikan kesungguhan dan kemampuan maksimum di sesi latihan untuk memperoleh minit permainan lebih lama dalam perlawanan akan datang.

“Kalau nak bandingkan dengan corak permainan di sana (Sepanyol) dan di sini memang tidak sama tetapi apa yang saya nampak kualiti bola sepak di tanah air ini semakin baik terutamanya daripada segi intensiti perlawanan.

“Mengenai kesebelasan utama, bergantung kepada barisan kejurulatihan tetapi apa yang mampu saya lakukan hanyalah memberikan 100 peratus jiwa raga kepada pasukan ini dan harapan saya untuk bangkit menjunjung kembali maruah Kelantan FC,” katanya.

Selain itu, Allee juga berharap dapat membantu pasukan daripada segi jaringan atau hantaran bola sebanyak yang mungkin untuk meraih keputusan yang positif selepas ini.

“Tetapi apa-apa pun tidak kira di kesebelasan utama atau pemain gantian, saya berharap dapat membantu rakan sepasukan dalam misi untuk meraih semula kemenangan”, katanya.

sumber:- HM

Mengikut rekod, Kelantan FC ketika ini berada di tangga kedua tercorot Liga Super apabila mengutip lapan mata selepas mencatatkan keputusan dua kemenangan, dua seri dan 15 kekalahan.