Gabriel Peres menyelamatkan Sabah selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan 3-2 mengatasi Kuala Lumpur City FC (KL City) pada minit akhir perlawanan Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Pemain import dari Brazil itu menjaringkan gol ketiga buat Sabah pada minit ke-89 hanya dengan menampan bola yang dihantar Saddil Ramdani ke arah gawang KL City ketika berlaku keadaan kucar-kacir di kawasan lawan.
Gol berkenaan sekali gus meredakan suasana tegang dialami pasukan Sang Badak bermula selepas Sabah ketinggalan 2-1 pada minit ke-70, sebelum disamakan 2-2 pada minit ke-78 hasil jaringan kapten pasukan, Park Taesu.
Kelima-lima gol pada malam ini terhasil pada separuh masa kedua, bermula dengan jaringan pertama Sabah menerusi Stuart John Wilkin pada minit ke-50, sebelum disamakan 1-1 oleh pasukan lawan hasil jaringan Romel Morales sembilan minit kemudian.
Jaringan pada minit ke-59 itu mencetuskan kebangkitan pemain KL City apabila mereka berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-70 menerusi Muhammad Haqimi Azim Rosli, menjadikan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 2-1.
Bagaimanapun, harapan KL City untuk mengekalkan kedudukan itu gagal apabila Park Taesu berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-78 selepas menyudahkan hantaran daripada Saddil Ramdani ke arah gawang lawan.
Harapan KL City untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dengan keputusan seri juga gagal apabila Gabriel berjaya menambah satu lagi jaringan buat Sabah 10 minit kemudian.
Dengan masa tambahan empat minit yang diberikan pengadil, KL City masih mencuba mencuri peluang menjaringkan gol akhir, namun satu cubaan ke arah gawang Sabah pada minit ke-93 berjaya ditangkap penjaga gol Sabah, Damien Lim.
sumber:- BH
Cubaan itu mengakhiri perlawanan kedua-dua pasukan, sekali gus meletakkan Sabah di hadapan dengan 3-2 untuk menambah tiga mata penuh, menjadikan Sabah setakat ini mengumpul 39 mata di tangga keempat carta liga.