sukan

Aksi penuh Dramatik Final berdepan India

Skuad hoki lelaki negara terlepas peluang mencipta sejarah lebih besar apabila akur menjadi naib juara Kejohanan Hoki Piala Juara-Juara Asia (ACT) selepas tumbang 3-2 kepada tuan rumah, India, di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai malam tadi.

Sejak penganjuran edisi pertama pada 2011, Malaysia memenangi tempat ketiga dalam lima edisi berturut-turut sehingga 2018 sebelum terpaksa menarik diri dalam edisi dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.

Berdasarkan rekod di atas kertas, India jelas pasukan yang lebih baik berada di ranking keempat dunia manakala Malaysia pula di ranking ke-10.

Bahkan, skuad negara dibelasah 0-5 dalam aksi pusingan awal pada 6 Ogos lalu tetapi kisah dalam pertemuan final kali ini mempunyai rencah berbeza dalam aksi penuh melawan The Speedy Tigers.

India terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Jugraj Singh pada minit kesembilan tetapi Abu Kamal Azrai segera menyamakan kedudukan buat skuad negara menerusi gol padangnya pada minit ke-14.

Malaysia kemudian berada di depan pada awal suku kedua menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-18 sebelum Aminudin Zain menjadikan kedudukan 3-1, dua minit menjelang ke waktu rehat separuh masa — juga menerusi gerakan sama.

Bagaimanapun, pendekatan skuad negara untuk lebih bertahan dalam suku ketiga mengundang padah apabila India memperoleh dua jaringan pantas yang disudahkan ketua pasukan, Harmanpreet Singh (pukulan penalti), dan Gurjant Singh (gol padang), kedua-duanya pada minit ke-45.

sumber:- SA

India akhirnya sah bergelar juara apabila Akashdeep Singh meledakkan satu lagi jaringan padang sebagai gol kemenangan tetapi Malaysia sekurang-kurangnya meraih pencapaian terbaik bergelar naib juara edisi kali ini.