Skuad Bawah 23 tahun (B-23) tidak mahu sekadar ‘bersiar-siar’ di Thailand apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk ke final Kejuaraan B-23 AFF 2023.
Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, kejohanan di Rayong itu tidak lagi akan menjadi medan ‘eksperimen’ dan beliau percaya skuad bimbingan E Elavarasan mampu memberikan saingan pada edisi kali ini.
Malah, Shahril juga percaya kegagalan di Sukan SEA Kemboja sebelum ini memberi pengajaran terbesar buat skuad B-23 untuk menampilkan persembahan yang lebih baik kali ini.
“Saya sudah mengadakan perbincangan bersama presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) mengenai sasaran iaitu mahu melangkah hingga ke pentas final Piala AFF B-23.
“Bagaimanapun, keputusan tidak menyebelahi kita pada Sukan SEA lalu namun itu bukanlah ukuran sebenar prestasi pemain negara ketika ini apabila sudah banyak perubahan dilakukan bagi memantapkan lagi persembahan mereka.
“Pada masa sama, kita juga tidak mahu lagi untuk setakat menguji kekuatan atau terus melakukan eksperimen di pentas Piala AFF B-23 dengan kali ini mahu pastikan pasukan mampu mencapai sasaran ditetapkan itu,” katanya.
Sebagai rekod, skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan B bersama Timor-Leste dan Indonesia dengan mereka akan membuka aksi berdepan Indonesia di Rayong, 18 Ogos ini.
sumber:- BH
Selepas itu, mereka akan menentang Timor-Leste pada 22 Ogos dan juara kumpulan akan mengesahkan tiket ke separuh akhir secara automatik.