sukan

Jurulatih Import yang dikatakan merempat akhirnya buka mulut

Bekas pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt mengakui tidak berdepan sebarang masalah selepas timbul laporan bahawa dia terpaksa menginap di sebuah stor milik rakannya.

Ketika ditemui media di sebuah hotel hari ini, jurulatih dari Jerman itu menegaskan stor yang didakwa menjadi tempat penginapannya itu cukup baik dan boleh dianggap sebagai ‘apartment kecil’.

“Saya datang agak lewat sekitar jam 2.30 pagi dan saya menginap untuk semalam dan kemudiannya untuk malam seterusnya.

“Tetapi bilik itu mempunyai katil, tandas dan dapur jadi ia seperti apartment. Saya ada duit jadi ia bukan satu masalah besar untuk saya.

“Ia cuma malam pertama saya tiba di Kuala Lumpur dan waktunya sudah agak lewat, jadi rakan saya katakan bahawa saya boleh tinggal di tempatnya.

“Dia menawarkan kediamannya untuk jangka masa panjang dan kemudiannya dia menganjurkan barbeku pada malam berikutnya.”Tiada apa yang perlu saya sembunyikan, kenapa saya harus sembunyikan apa-apa?

“Banyak yang keluar di media tetapi maaf, saya baik-baik sahaja dan semuanya bagus buat saya,” kata Bernhardt.

Dalam masa sama, Bernhardt juga masih menunggu tiket penerbangan pulangnya ke Jerman memandangkan Kelantan FC perlu memberikan tiket pulang buatnya seperti termaktub dalam kontraknya.

Bagaimanapun dia enggan mendahulukan wangnya bagi membayar tiket penerbangan dianggarkan berharga RM3,500 selepas dia tidak tahu jika pasukan itu akan menggantikan semula wangnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang jurulatih berstatus import dalam saingan Liga Super ketika ini hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan, pengendali yang baharu dipecat oleh sebuah pasukan di Liga Malaysia (Liga M) itu terpaksa tinggal di sebuah stor milik rakannya sementara berusaha mencari dana untuk pulang ke negara asalnya.

sumber:- BH

Menurut beberapa sumber terdekat, jurulatih terbabit tidak terus pulang ke negaranya kerana masih menunggu tiket penerbangan yang dijanjikan oleh bekas majikannya sebelum ini.