Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelaskan barisan kejurulatihan Harimau Malaya akan cuba membantu Faisal Abdul Halim untuk berada pada tahap terbaik dan bersedia dipanggil menyertai kem latihan pusat bulan depan.
Ia susulan tonggak jentera serangan Harimau Malaya itu terpaksa ‘berehat’ sebulan akibat penggantungan yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Situasi itu menyaksikan Faisal terlepas beberapa perlawanan bersama Selangor dalam saingan Liga Malaysia, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada dia akan dipanggil bagi aksi persahabatan berdepan Syria dan China bulan depan atau tidak.
Pan Gon bagaimanapun percaya bahawa penggantungan itu tidak akan memberikan kesan yang besar terhadap persembahan Faisal yang sebelum ini menjadi tonggak penting Harimau Malaya.
“Isu ini (penggantungan Faisal) sukar buat kami. Namun, dia bermain semua perlawanan beberapa bulan sebelum ini, jadi dia hanya terlepas beberapa perlawanan.
“Saya berasa ia tidak memberi kesan besar kepada persembahan dia. Tetapi kami mengambil berat mengenai perkara itu dan akan maklumkan kepada dia bagaimana kami boleh bantu.
“Saya fikir kami akan cuba yang terbaik untuk bantu dia berada pada keadaan terbaik bagi kem latihan September ini,” katanya kepada pemberita selepas proses undian Pestabola Merdeka di Wisma FAM, hari ini.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihaknya menyerahkan kepada Pan Gon sama ada mahu memanggil Faisal atai sebaliknya bagi kem latihan bulan depan.
Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey dikenakan hukum itu susulan kenyataan yang dikeluarkannya ketika temu bual media selepas berdepan Sabah, April lalu.
Dia sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November ini, namun hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.
sumber:- BH
Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum ini mengekalkan hukuman penggantungan sebulan yang dikenakan ke atas Faisal, namun dia dibenarkan kembali menjalani latihan bersama Selangor bagi memastikan dia dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.