“Allah sakitkan saya empat hari untuk beri kemenangan malam ini (semalam). Syukur kepada Allah,” kata pengendali Perak FC, Yusri Che Lah.
Skuad ‘The Bos Gaurus’ mencipta kejutan apabila menumbangkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium Perak, semalam.
Meskipun ketinggalan seawal 36 saat menerusi jaringan Manuel Ott, barisan pemain Perak FC bangkit pada babak kedua untuk meledak tiga gol dibantu pelawat yang kehilangan Rodney Celvin susulan kad merah pada minit ke-60.
Namun di sebalik kegembiraan susulan keputusan positif itu, Yusri tetap berhati-hati untuk menghadapi aksi kedua di Stadium Darul Aman dan menuntut anak buahnya tidak terlalu selesa dengan bekalan dua gol yang dibawa itu.
“Sungguhpun ada bekalan dua gol untuk dibawa bagi aksi kedua nanti tetapi sesungguhnya saya cukup risau dengan aksi 90 minit di Stadium Darul Aman.
“Apapun, tahniah pada pemain yang tidak berputus asa kerana selepas dibolosi seawal 36 saat, semua akan lihat apa yang akan berlaku dan berapa gol yang kita akan kena.
“Pemain menunjukkan persembahan yang sangat baik dan saya hilang kata-kata untuk menggambarkan mengenai prestasi mereka malam ini.
“Apa yang penting mereka bangkit selepas ketinggalan dan beraksi seperti mana yang kita inginkan,” katanya.
Terdahulu, kebangkitan Perak FC tercetus tiga minit selepas rehat apabila Luciano Guaycochea menyempurnakan sepakan penalti sebelum Luka Milunovic meledak gol kedua (m54).
sumber:- BH
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan Perak FC dengan Muhammad Hakimi Mat Isa melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah menerusi gol ketiga (m85).