Esteban Solari mahu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) melupakan kejayaan merangkul Piala FA, Sabtu lalu dan kembali memberi tumpuan kepada pertembungan menentang pasukan kedua Liga Super, Selangor FC malam ini.
Walaupun kedudukan Harimau Selatan sebagai pendahulu tampak sukar digugat dengan memenangi semua 17 perlawanan dan mengumpul 51 mata, pengendali JDT itu enggan mengambil risiko dalam baki lapan saingan.
Bagi Solari, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bukanlah lawan yang mudah setelah ia dibarisi ramai pemain berkualiti dan mampu mencipta kejutan sepanjang tempoh 90 minit permainan.
“Selepas menjuarai sesuatu kejohanan, adalah normal untuk meraikan namun pemain perlu kembali fokus kepada saingan liga. Jadi, kita perlu lupakan seketika kejayaan itu dan beri komitmen tinggi untuk misi membawa pulang tiga mata ketika menentang Selangor.
“Tidak dinafikan Selangor pasukan hebat dan pertemuan ini ibarat final kedua selepas menewaskan Kuala Lumpur dalam Piala FA,” katanya.
Dalam pada itu, Solari tidak menolak kemungkinan akan menurunkan penyerang import baharu JDT, Heberty Fernandes yang melengkapkan perpindahan menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, minggu lalu.
Katanya, Fernandes yang menyertai JDT dari kelab Thailand, Bangkok United FC akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fernando Forestieri setelah pemain itu mengalami kecederaan ketika aksi final menentang KL City.
“Dia pemain yang berkualiti dan mampu untuk mengadaptasi corak permainan JDT, dia juga mempunyai sentuhan penyudah berkualiti yang amat diperlukan Harimau Selatan. Saya mahu dia berada dalam keadaan terbaik sebelum beraksi nanti.
“Saya enggan beri tekanan kepadanya, sekiranya dia sudah bersedia dan berada di tahap terbaik, dia pasti akan diturunkan. Kelibat pemain sepertinya mampu memberi nilai tambah buat pasukan,” katanya.