sukan

Aaron -Wooi Yik penyelamat Negara singkir jaguh Indonesia

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi penyelamat negara apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun 2023, sebentar tadi.

Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong dan tiga lagi beregu bagaimanapun gagal mengikut jejak juara dunia itu.

Aaron-Wooi Yik seperti dijangka mudah mengenepikan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-12, 21-10 dalam tempoh 24 minit untuk mara ke suku akhir.

Kemenangan ke atas beregu ke-14 dunia itu membolehkan Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking keempat dunia merekodkan kemenangan ketiga dalam tiga pertemuan antara mereka.

Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik pernah menewaskan lawan itu di Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura bulan lalu.

Di suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Yoyogi esok, Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu sama ada pilihan kelima dari Jepun, Takura Hoki-Yugo Kobayashi ataupun wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang.

Dalam pada itu, dua lagi beregu lelaki negara tidak dapat mengikuti jejak Aaron-Wooi Yik ke suku akhir selepas tewas di tangan lawan masing-masing di pusingan kedua, hari ini.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kecundang di tangan pilihan kelapan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 14-21, 17-21 manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dikecewakan beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin 21-15, 18-21, 16-21.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut tewas straight set di tangan pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 15-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit.

sumber:- BH

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong juga tewas di pusingan kedua di tangan wakil Jepun, Koki Watanabe 17-21, 14-21 dalam tempoh 46 minit.