sukan

Tewaskan JDT kenangan terindah

Keputusan luar biasa menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2021 menjadi kenangan terindah buat bekas jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak sepanjangan tiga musim bersama The City Boys.

Hodak berkata, pengalaman itu cukup istimewa buatnya apabila semua pihak tidak menjangkakan pasukan kerdil seperti KL City FC mampu melakukan kejutan dengan menumpaskan gergasi bola sepak Asia Tenggara itu di hadapan puluhan ribu penyokong.

Pengendali berusia 52 tahun itu berkata, pengalaman dan keperitan bersama KL City akan terus diingati terutamanya berjaya merealisasikan impian KL City untuk beraksi di peringkat tertinggi di Asia.

“Perkara yang paling diingati adalah ketika menentang kelab dari Uzbekistan PFC Sogdiana pada final antara zon Piala AFC 2022 untuk beraksi di pentas final Piala AFC.

“Namun, ada sesuatu yang boleh dikatakan kenangan paling manis apabila menumpaskan JDT di final Piala Malaysia 2021 ketika ramai yang melihat KL City tidak mampu mencipta kemenangan pada perlawanan itu,” katanya.

Mengikut rekod, KL City mencipta sensasi pada musim lalu apabila menempah slot final Piala AFC sebelum tewas 0-3 kepada kepada kelab Oman, Al Seeb, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun tewas kepada Al Seeb namun pencapaian itu cukup membanggakan kerana KL City adalah pasukan kedua beraksi di pentas final Piala AFC selepas JDT melakukannya pada 2015.

Sementara itu, Hodak mengakui penghijrahannya ke kelab lain di luar negara tidak ‘disenangi’ oleh sesetengah pemain yang turut bersedih kerana tiada lagi sentuhan magis daripada pengendali dari Croatia itu.

“Mereka (pemain) ingat pengumuman saya akan ke kelab lain adalah ‘prank’ namun apabila menyedari perkara itu adalah benar, ada antaranya menangis dan tidak mahu meneruskan latihan.

sumber:- HM

“Saya tidak boleh cakap siapa yang menangis itu namun semuanya terkejut dengan keputusan Hodak bukan lagi bersama KL City,” katanya.