Kuala Lumpur (KL) City melahirkan rasa kecewa ke atas insiden yang berlaku semasa perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KL City menzahirkan rasa simpati dengan penyokong dan ahli keluarga mereka yang terkesan akibat insiden yang tidak diingini itu yang membabitkan anggota keselamatan di stadium.
Jelasnya, pasukan itu akan berdiri teguh bersama-sama penyokong di saat sukar itu dan bertekad untuk menghulurkan apa-apa bantuan yang diperlukan oleh mereka.
“Kami mengecam sebarang bentuk keganasan tidak kira sama ada melibatkan penyokong kami mahupun pihak lain. “Penggunaan kekerasan sama ada di dalam mahu pun luar stadium telah membayangi pertembungan sengit di atas padang dan tidak seharusnya mendapat tempat di dalam dunia sukan.
“Ingatan kami juga tertumpu kepada ahli keluarga City Boys yang menjadi saksi terhadap kejadian yang memilukan ini dan terkesan akibatnya. Kepada mana-mana penyokong yang dicederakan kami seikhlas hati menghulurkan bantuan untuk anda,” katanya.
Dalam masa, KL City berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan mereka terhadap insiden tersebut ekoran laporan polis yang dibuat oleh salah seorang penyokong yang menjadi mangsa keadaan.
Justeru pihaknya menggesa mana-mana saksi dengan bukti kejadian ini agar menghubungi kami supaya keadilan dapat diperoleh untuk mangsa.
“Di Kuala Lumpur City FC, kami mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap sebarang penggunaan kekerasan dalam kawal selia penonton.
“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk berkongsi pengalaman dalam hal kawalan keselamatan di stadium serta pengurusan penonton.
“Kami juga menyeru agar pihak-pihak yang berkenaan untuk menitikberatkan hal-hal membabitkan keselamatan serta mempertimbangkan keperluan penambahbaikkan Langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang di masa hadapan.
sumber:- HM
“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan persekitaran selesa di mana penyokong datang ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka, menikmati perlawanan dan bebas daripada sebarang ancaman pembuat kacau,” tambahnya.