sukan

Seorang lagi mungkin jadi pemain naturalisasi Malaysia

Pertahanan import Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic akui dia bagaikan tidak sabar untuk bergelar pemain naturalisasi sekali gus mengintai peluang beraksi bersama skuad kebangsaan.

Jelas pemain kelahiran Montenegro itu, dia juga bagaikan ‘tidak senang duduk’ apabila melihat ramai pemain naturalisasi dan warisan ‘berkampung’ di Kuala Terengganu baru-baru ini dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Justeru pemain berusia 31 tahun itu yang mula berhijrah ke Malaysia pada 2018 dengan menyarung jersi PDRM FC berharap proses naturalisasinya dapat diselesaikan seberapa segera sebelum kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang dijadualkan bermula bulan depan.

Pemain beragama Islam yang menamatkan zaman bujangnya dengan gadis Cameron Highlands, Nurraifana Azman, 30 juga turut mengharapkan doa daripada peminat setia skuad Penyu agar dia dapat status berkenaan selepas enam musim beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

“Berdasarkan maklumat terakhir yang diperoleh daripada pihak pengurusan TFC berkaitan proses naturalisasi saya ialah sudah diluluskan, sekarang ini di peringkat terakhir dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Selanjutnya saya tidak tahu bila akan dapat diselesaikan proses naturalisasi itu, saya rasa seperti penyerang import Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Romel Morales pun seperti saya juga masih menunggu.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi agar proses berkenaan dapat diselesaikan sebelum sebelum TFC bermain dalam saingan Piala AFC, lagipun saya bagaikan sudah tidak sabar selepas enam tahun berada di Malaysia.

“Apabila saya didaftarkan sebagai pemain tempatan jadi pasukan boleh mendaftar tambahan pemain import sekali gus mampu memperkasakan lagi pasukan terutama dalam mengharungi saingan Piala AFC dan juga baki saingan Liga Super dan juga Piala Malaysia selepas gagal layak ke final Piala FA,” ujar Redzovic.

Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.90 meter itu sudah menyarung jersi 12 kelab berbeza sepanjang kariernya sebelum menyertai Terengganu FC II (TFC) pada 2020 dan kemudian ‘dinaikkan pangkat’ menyarung jersi skuad utama TFC.

sumber:- HM

Terdahulu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendiriannya untuk menghentikan program naturalisasi pemain bola sepak profesional bagi memberi peluang kepada pemain tempatan membarisi skuad kebangsaan. Bagaimanapun FAM tidak sesekali menghalang kelab ataupun negeri untuk meneruskan program naturalisasi.