Malaysia mampu mencatat kenaikan 16 anak tangga daripada ranking dunia ketika ini, sekali gus menutup 2023 di kedudukan 120.Begitupun misi itu hanya boleh dilaksanakan jika memenangi salah satu daripada dua aksi persahabatan, September ini.
Secara realistik, Harimau Malaya mempunyai peluang mengalahkan China pada perlawanan Tier 1 sebelum menjadi tuan rumah kepada India, Palestin serta Lebanon dalam Pestabola Merdeka pada Oktober.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sedang berusaha mendapatkan lawan paling kuat buat Harimau Malaya dalam aksi persahabatan kedua, menentang pasukan No. 34 dunia yang diketuai bintang Liverpool, Mohamed Salah, Mesir.
Naib Presiden FAM, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, Pestabola Merdeka dari 14 hingga 17 Oktober ini peluang terbaik Malaysia mengutip sebanyak mungkin mata ranking.
“September ini kita akan menentang China, selepas itu mungkin Mesir. Kalau kita boleh menang satu perlawanan, terutama China, kita berada posisi baik untuk mengakhiri tahun ini di ranking ke-120 dunia.
“Dalam masa sama, kalau muncul juara Pestabola Merdeka, ia akan memudahkan lagi peluang Harimau Malaya.
“Kita kena ambil kesempatan sebab China, kalau ikut memang ranking bawah 100 dunia tapi ketika ini prestasi mereka dah mula turun,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Kelmarin, Malaysia mencatat kenaikan satu anak tangga dalam ranking FIFA dengan menghuni kedudukan 136 dunia. Pencapaian terbaik pernah dilakukan Harimau Malaya adalah 75 dunia pada 8 Ogos 1993.
China berada di ranking ke-80 dunia, manakala Palestin di tangga ke-96, India ke-99 dan Lebanon 100.Pada November pula, skuad akan mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.