sukan

Teruk kena ‘hentam’ dengan penyokong sendiri

Sedar teruk ‘dihentam’ peminat sendiri berikutan prestasi pasukan yang tidak konsisten, pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) tampil memohon ‘pemain ke-12’ terus memberikan sokongan padu kepada pasukan.

Menerusi kenyataan media rasmi pasukan itu malam tadi, pihak pengurusan turut mengharapkan tiada lagi kata-kata cacian kepada pemain dan barisan kejurulatihan sebagaimana yang berlaku dalam laman sosial.

“Ketika prestasi pasukan kita tidak berada pada tahap terbaik, kelab kita dihentam di setiap sudut dan semestinya keadaan ini tidak baik untuk memulihkan motivasi pemain kita.

“Tiada pemain yang ingin beraksi untuk hanya mendapatkan keputusan seri dan tewas. Tidak pula ada jurulatih yang ingin pasukannya tidak menunjukkan mutu permainan yang memuaskan.

“Melihatkan senario pada ketika ini ada pemain kita dicaci, ada yang diserang dengan ejekan dalam akaun media sosial mereka, ianya adalah sesuatu yang bukan kita harapkan dalam usaha untuk memulihkan motivasi mereka. Seperti tahun lalu, prestasi pasukan kita sehingga pertengahan musim adalah kurang memuaskan.

“Namun bermula pusingan kedua, pasukan tampak lebih bersedia, lebih bertenaga dan lebih dahagakan kemenangan sehingga berjaya melonjakkan ke tangga kedua liga. Jadi ianya masih belum terlambat untuk kita mengulanginya sekurang-kurangnya untuk menempatkan kita di kedudukan yang lebih baik,” demikian kenyataan media rasmi kelab itu.

Mengulas lanjut, pihak pengurusan juga merayu semua peminat setia dapat memberikan kata-kata semangat kepada pemain bagi menyuntik lagi motivasi mereka lebih-lebih lagi perjalanan Liga Super masih lagi panjang selain skuad Penyu bakal beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang bakal membuka tirainya bulan depan.

“Jika kita tidak mengharapkan ‘orang’ dalam pasukan mampu untuk memulihkan pasukan pada ketika ini, sama-samalah kita jadi ‘orang’ yang dapat memberikan motivasi dan semangat yang terbaik untuk pemain kembali bangkit berjuang untuk kelab kesayangan kita.

“Perjalanan liga masih panjang, kita masih berbaki saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC yang akan berlangsung tidak lama lagi. Pemain kita berkualiti, namun suntikan motivasi dari setiap sudutlah yang bakal menentukan arah tuju perjuangan mereka,” katanya.

sumber:- BH

Berdasarkan kedudukan terkini di tempat keenam liga dengan mengumpul 25 mata selepas 17 perlawanan, ia bukanlah berada pada tahap yang begitu teruk, namun prestasi yang tidak konsisten selain tiada penyerang tulen membuatkan peminat ‘naik minyak’.