Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memilih pendekatan untuk mengunci mulut mengenai isu hutang RM3.8 juta yang dituntut pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman.
Ini berikutan Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman menjelaskan isu hutang antara persatuan terbabit dengan Kelantan FC sudah melalui prosiding mahkamah.
Justeru, Hussin menyatakan sebarang kenyataan mengenai isu itu bakal mengeruhkan keadaan dengan pihaknya menyerahkan sebarang keputusan kepada mahkamah.
“KAFA tidak mahu ulas lebih lanjut isu membabitkan hutang kepada Kelantan FC kerana kes itu sudah pun melalui prosiding mahkamah.
“Sepatutnya, Norizam (Norizam Tukiman) juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan beliau tahu perkara itu (prosiding mahkamah) kerana tindakan terbabit boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.
Semalam, Norizam yang lebih mesra disapa Zamsaham merayu kepada KAFA supaya dapat melunaskan hutang sebanyak RM3.8 juta kepada pasukan terbabit.
Usahawan itu mengakui jumlah RM3.8 juta itu adalah satu amaun yang besar dan ia boleh dimanfaatkan untuk membangunkan pasukan ‘The Red Warriors’ khususnya dari segi fasiliti dan pembayaran gaji.
“Kepada KAFA, minta tolong supaya dapat bayar hutang RM3.8 juta kepada saya. Mungkin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh bantu saya (selesaikan masalah).
sumber:- BH
“Macam-macam yang boleh saya buat dengan RM3.8 juta itu, saya boleh buat berapa banyak padang dan saya boleh bayar gaji pemain yang tertunggak,” katanya.