sukan

Parking bas lebih baik

“Kami akan berusaha untuk memberikan perlawanan yang sukar buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dan mungkin juga berpeluang untuk mengecewakan mereka,” kata tonggak pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco.

Gallifuoco mengakui skuad ‘Warga Kota’ turun sebagai pasukan ‘underdog’ menentang skuad Harimau Selatan yang memiliki segala-galanya namun pertahanan tengah itu menegaskan rakan sepasukannya bertekad memberikan yang terbaik untuk mencetus kejutan.

Malah, kenangan manis menewaskan lawan sama di pentas akhir Piala Malaysia 2021 bakal menjadi ‘rujukan’ buat mereka untuk sekali lagi menghadapi cabaran anak buah Esteban Solari di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.

“Kita sudah bertemu mereka banyak kali dan tewas, jadi semua perlawanan itu memberi pengajaran kepada kita khususnya dalam memperbaiki kesilapan. Kita menang sekali dengan mereka namun ia (kemenangan) pada perlawanan penting (final Piala Malaysia 2021).

“Kita akan lihat apa yang pernah dilakukan pada 2021 dan cuba mengulanginya bagi aksi final kali ini. Menentang JDT boleh diibaratkan seperti perang tanpa henti dan kita perlu fokus 150 peratus pada setiap saat.

“Kita perlu bekerja lebih keras berbanding dari apa yang pernah kita tunjukkan. Sudah tentu penat tetapi ini adalah final dan siapa tahu apa yang bakal terjadi.

“Kita akan turun tanpa rasa takut dan semua jangkakan kita akan kalah sama seperti 2021. Sama seperti ketika menentang Viettel, ATK Mohun Bagan dan Sogdiana tetapi kami sudah buktikannya (menang).

“Kita akan mengharungi aksi final dengan aksi terbaik dan penuh semangat bagi memastikan tiada penyesalan,” katanya kepada BH Sukan.

Dalam masa sama, pertahanan dari Australia itu jelas realistik apabila melihat corak permainan bertahan mungkin menjadi pendekatan yang terbaik untuk mengekang kemaraan JDT.

“Itu (bertahan) adalah cara yang lebih baik untuk menewaskan pasukan yang lebih baik berbanding pasukan anda. JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia dan mungkin di Asia Tenggara.

“Kita sendiri melihat apa yang berlaku dalam saingan liga setiap minggu jadi kita mesti pragmatik dan cuba lakukan apa yang sepatutnya kami lakukan kerana di atas kertas, JDT adalah pasukan yang lebih baik.

sumber:- HM

“Kita tidak rasa begitu tertekan seperti final 2021 kerana kami sudah biasa memandangkan ini final ketiga dalam tiga tahun. 85 peratus pemain adalah daripada pasukan 2021,” katanya.