sukan

Kelantan FC sedang dipantau

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memantau rapat situasi semasa Kelantan FC selepas timbul isu terbaru mengenai pengurusan kelab terbabit.

Semalam, beberapa pelabur bersama peguam mengadakan satu sidang media untuk mengheret pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman ke muka pengadilan.

Pelabur berkenaan mendakwa menjadi mangsa ‘penipuan’ pelaburan yang diusahakan Norizam, termasuk syarikat TRW FC Berhad yang kini bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, selaku badan induk yang mengawal aktiviti bola sepak dalam negara, pihaknya sentiasa peka dengan situasi skuad The Red Warriors (TRW) ketika ini.

Katanya, memandangkan saingan Liga M dikelola oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), maka kemelut yang melanda TRW perlu dirujuk terlebih dulu kepada MFL.

“Isu Kelantan ini bukan di bawah FAM kerana pasukan itu bertanding dalam Liga M yang diselia oleh MFL.

“Di MFL ada FIB (First Instance Body) yang memberi lesen, ada bahagian pengurusan kelab dan sebagainya, jadi MFL ada kaedah dan cara mereka tersendiri untuk melihat atau memantau isu Kelantan.

“Tapi FAM selaku badan yang mengawal bola sepak negara tidak akan lepas tangan, kami akan sentiasa berkomunikasi dengan semua pihak. Apapun biar MFL buat bahagian mereka dan kita pantau situasi itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Noor Azman berkata, setakat hari ini pihaknya tidak menerima apa-apa aduan daripada pemain mengenai pasukan itu.

sumber:- HM

“Bila ada aduan, kami akan siasat. Buat masa sekarang tak ada aduan mengenai pasukan.”Jadi di pihak FAM tak ada isu mengenai Kelantan,” katanya.