sukan

Perlu sabar dengan JDT

Dua tahun selepas kemenangan mengagumkan KL City FC ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala Malaysia 2021, ‘dejavu’ melanda bagi aksi final Piala FA 2023, Sabtu ini.

Ini kerana dua pasukan itu sekali lagi akan berentap di Stadium Sultan Ibrahim bagi memburu trofi Piala FA yang turut memberikan tiket ke pertandingan Asia tahun depan.

BH Sukan mendapatkan pandangan dan analisis pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas jurulatih PDRM FC, Mohd Fauzi Pilus mengenai aksi final ini.

ANALISIS KESELURUHAN JDT

Secara keseluruhan, kelebihan lebih kepada JDT dalam segenap bahagian khususnya di bahagian serangan dengan rangkaian yang berbahaya serta banyak pilihan untuk diturunkan.

Ada kekuatan dari segi ‘interchange game’, situasi satu lawan satu dan serangan daripada belakang yang pelbagai termasuk menerusi situasi bola mati.

Bahagian serangan mereka sangat bijak dan bermain dengan pelbagai kombinasi dan mencipta peluang untuk rakan sepasukan yang lain.

Kelebihan dari segi individu, corak permainan berpasukan dan gaya permainan yang mantap selain tidak banyak kekurangan di bahagian JDT yang boleh dimanipulasi KL City FC.

JDT juga pasti lebih berhati hati dan mengambil ‘pengajaran’ daripada final Piala Malaysia 2021 apabila tidak lagi akan terperangkap dengan perancangan Bojan Hodak.

Mungkin hanya sedikit kekerapan La Vere Corbin Ong dan juga Matt Davies yang suka naik ke atas dan pemain tengah lambat membuat ‘recovery’ selepas Corbin Ong tinggalkan kawasannya.

Jadi, ruang yang ditinggalkan ini mungkin menjadi ‘lubuk’ yang ditunggu KL City FC bagi melancarkan serangan.

ANALISIS KESELURUHAN KL CITY FC

KL City FC boleh mengimbangi bahagian tengah dengan kehadiran Paulo Josue dan Akram Mahinan serta pemain lain namun mereka perlu berada pada tahap yang benar benar terbaik untuk aksi final ini.

Saya tidak jangkakan KL City FC bermain secara terbuka dan akan cuba ‘taktikal klasik’ dengan permainan serangan balas pantas serta pertahanan yang padat.

KL City FC perlu memperagakan pertahanan yang berkualiti dan menyerap setiap asakan daripada JDT – pertahanan dan penjaga gol akan menjadi paling ‘sibuk’.

Apa yang boleh KL City FC lakukan adalah bermain dengan sabar, cuba menunggu kesilapan yang mungkin dijelmakan JDT pada perlawanan itu untuk memerangkap lawan.

Barisan serangan KL City FC juga perlu lebih klinikal di hadapan gol apatah lagi peluang tidak akan datang dengan mudah berdepan pasukan seperti JDT.

Saya jangka KL City FC akan lebih banyak berada di ‘low zone’ dan bermain di kawasan sendiri sambil mencari peluang melancarkan serangan balas pantas.

JANGKAAN FINAL PIALA FA 2023

Peluang pada perlawanan ini lebih berat kepada JDT, mungkin 70/30 namun aksi ketika hari perlawanan tetap menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana pasukan.

Saya melihat kemungkinan aksi separuh masa pertama akan menjadi penentu sama ada Johor Darul Ta’zim boleh menang ataupun tidak.

Ini kerana kebiasaannya pada babak pertama, JDT akan bermain secara ‘high pressing’ dan cuba mendapatkan gol awal sebanyak mungkin untuk membunuh lawan.

Kalau mereka bergelut dengan intensiti diberikan JDT nanti, KL City FC akan ‘habis’ kerana JDT akan datang untuk membunuh perlawanan seawal mungkin.

Jika KL City FC dapat menyerap asakan dan rentak perlawanan, kemungkinan KL City FC boleh cuba memberi saingan dengan baik kepada JDT dan mungkin boleh mencetus kejutan seperti di final Piala Malaysia.