sukan

Manchester City setuju yuran perpindahan Riyad Mahrez

Manchester City dan Al Ahli mencapai persetujuan untuk yuran Riyad Mahrez pada jendela perpindahan musim panas ini.

Al Ahli bersetuju membayar 30 juta pound (RM178.1 juta) kepada Man City untuk khidmat pemain 32 tahun itu, yang juga sudah bersetuju dengan syarat-syarat peribadi ditawarkan kelab Liga Pro Saudi berkenaan.

Mahrez juga dibenarkan untuk tidak menyertai City yang menjelajah ke Jepun dan Korea Selatan bagi persiapan pra-musim.

Pemain Algeria itu, yang tidak tersenarai dalam kesebelasan utama ketika final Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA, memaklumkan kepada pengendali City, Pep Guardiola yang dia mahu meninggalkan Etihad pada musim panas ini.

Bekas bintang Leicester itu membuat 47 penampilan untuk City dalam semua pertandingan musim lalu, menjaringkan 15 gol dan melakukan 13 umpanan gol.

Bernardo Silva menjadi pilihan Guardiola untuk memulakan permainan dalam kedua-dua aksi berkenaan dan Mahrez sekadar menyaksikan kemenangan City ke atas Inter Milan dan Manchester United dari bangku simpanan.

Mahrez kini akan menyertai senarai nama besar ke Timur Tengah yang turut dibarisi Karim Benzema, N’Golo Kante dan Ruben Neves.

Selain Mahrez, Kyle Walker juga dalam proses perpindahan ke Bayern Munich, manakala Joao Cancelo bakal berpindah secara tetap selepas dipinjamkan ke kelab Bundesliga berkenaan musim lalu.

Aymeric Laporte, Silva dan penjaga gol, Zach Steffen juga dalam senarai perpindahan keluar dari Etihad pada musim panas ini.

Mahrez memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris, dan turut memenangi Liga Juara-Juara Eropah serta Piala FA musim lalu. – AGENSI