sukan

Detik malang tidak harus dilupakan JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) harus mengelak ‘tragedi 2021′ berulang apabila tumpas 0-2 kepada KL City FC dalam aksi final Piala Malaysia, dua musim lalu ketika mereka akan berentap di final Piala FA di Stadium Sultan ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

Detik malang itu tidak harus dilupakan barisan pemain JDT dan perlu dijadikan iktibar untuk lebih konsisten berdepan skuad kendalian Bojan Hodak yang mungkin akan tampil dengan resipi `luar biasa’ tatkala beraksi di stadium keramat skuad Harimau Selatan.

Pengendali JDT, Esteban Solari perlu ketepikan perang psikologi yang cuba dimainkan skuad The City Boys, sebaliknya memberi lebih tumpuan bagi memperkasa kesebelasan utama dan memperbaiki apa jua kelemahan terutama transisi permainan dan ketepatan umpanan bola.

Bekas pembantu jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu juga perlu meningkatkan lagi kualiti `set-piece’ apabila berada dalam situasi menyerang memandangkan skuad bimbingan Hodak mungkin akan mengamalkan permainan bertahan secara kompak.

Oleh itu, kreativiti di posisi tengah yang mungkin diterajui Leandro Velazquez, Afiq Fazail, Shio Hon Wan dan Corbin Ong perlu menyusun strategi yang lebih ampuh untuk menjana gerakan bagi memudahkan tugas barisan serangan memecah benteng KL City FC.

Dan tugas itu pasti menjadi taruhan sama ada Bergson Da Silva atau Diogo Luis Santo bagi menyudahkan gerakan dari posisi tengah sambil Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi bergerak dari bahagian sayap kiri dan kanan.

Apapun, Solari pasti berada dalam dilema sama ada mahu menyenaraikan Bergson atau Diogo kerana mereka memiliki corak permainan berbeza tapi mampu menterjemah peluang yang ada dengan jaringan dan formasi 3-4-3 bakal menjadi taruhan pengendali kelahiran Argentina itu.

Namun di sebaliknya keinginan memburu kemenangan, JDT harus memperkuatkan benteng pertahanan, walaupun tampak tidak membimbangkan selepas posisi itu hanya bolos tiga gol sepanjang 17 perlawanan Liga Super.

Justeru, barisan pemain seperti penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, kapten Jordi Amat dan Feroz Baharudin mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama sambil Matthew Davies yang sudah berpengalaman harus lebih konsisten dan tidak membiarkan KL City mendapat ruang mencipta peluang berbahaya.

sumber:- BH

Apapun, JDT tidak boleh membiarkan perlawanan ke masa tambahan dan berakhir dengan sepakan penalti kerana itu kepakaran KL City FC, sebaliknya anak didik Solari kena memerah segala keringat bagi memastikan tempoh 90 minit perlawanan milik skuad Harimau Selatan.