sukan

Pearly-Thinaah sekali lagi berpeluang lakar kejutan terbesar

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah perlu menampilkan aksi ‘kelas A’ andai mahu menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Kedua-dua pasangan itu akan membuat perhitungan pada aksi pusingan kedua Terbuka Korea, esok.

Semalam, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Jepun, Rui Hirokami-Yuna Kato 21-17, 15-21, 21-15 pada aksi pusingan pertama di Stadium Jinnam, Yeosu.

Berdasarkan prestasi dalam perlawanan itu, Thinaah mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi bertemu Qing Chen-Yi Fan yang menang menang semua tiga pertemuan antara mereka sebelum ini.

“Sudah tentu kami gembira dapat beraksi semula di gelanggang selepas lama tidak berbuat demikian. Bagaimanapun, kami masih belum berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pada perlawanan ini (pusingan pertama).

“Banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama daripada kesilapan-kesilapan yang dilakukan pada perlawanan ini. Jadi kami ada satu hari berehat dan akan guna sebaiknya untuk fokus pada perlawanan seterusnya,” kata Thinaah.

Dalam pada itu, Pearly ketika ditanya mengenai kejayaannya memecahkan rekod dunia bagi smash terlaju kategori wanita, mengakui sangat gembira dengan pencapaian berkenaan.

Katanya, dia akan terus bekerja keras bagi menajamkan lagi smashnya yang dilihat bakal membantu dia dan pasangan setiap kali turun beraksi di sesuatu kejohanan.

“Ia umpama mimpi. Sebenarnya saya tidak memikirkan sangat berkenaan kelajuan smash yang dilakukan tapi saya gembira apabila mereka kata saya berjaya mencipta rekod dunia.

sumber:- BH

“Selepas ini saya akan cuba berlatih dengan lebih keras supaya smash saya itu dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi,” katanya.