sukan

‘Magis’ Bojan sekali lagi jadi taruhan

Magis atau sentuhan ‘membunuh’ pengendali Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak sekali lagi diharapkan skuad City Boys untuk berdepan gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA, Sabtu ini.

Kepakaran Hodak dalam merencana strategi memerangkap lawan terutama membabitkan aksi kalah mati tidak boleh dinafikan lagi apabila dia berjaya membawa skuad itu ke tiga pentas final dalam tempoh tiga tahun.

Detik paling manis dan masih diingati hingga ke hari ini adalah ketika mereka mengejutkan JDT 2-0 di final Piala Malaysia 2021, sekali gus menamatkan penantian 32 tahun warga kota untuk memenangi trofi berprestij itu.

Saham Hodak terus meningkat apabila mencipta sejarah besar bersama City Boys, tahun lalu dengan membawa skuad itu ke final Piala AFC buat kali pertama sebelum tewas 0-3 kepada kelab Oman, Al Seeb untuk bergelar naib juara.

Kini, pengendali dari Croatia itu sekali lagi meletakkan namanya dan City Boys di pentas akhir untuk saingan Piala FA meskipun tugas amat sukar terpaksa dihadapi apabila berdepan JDT yang juga juara bertahan.

Beraksi di gelanggang keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim, Hodak tampak perlu merencana ‘strategi khas’ untuk mengejutkan Harimau Selatan apatah lagi lawannya itu berada dalam prestasi terbaik dalam sejarah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard turut mengakui bahawa kelab itu sangat mengharapkan kebijaksanaan Hodak untuk City Boys melakar keputusan luar jangka ketika banyak pihak meletakkan JDT sebagai calon pilihan untuk bergelar juara.

“Saya merasakan Bojan mungkin orang yang paling penting di final ini. Pemain yang ada memang mempunyai karakter dan kewibawaan untuk memacu pasukan, namun mereka sangat mengharapkan strategi dan juga perancangan taktikal dari Bojan.

“Mereka sudah lama bersama dan memahami apa yang cuba dilontarkan Bojan dan ia amat penting kerana pemain akan menunggu benda itu.

“Selepas tiga tahun dan tiga final, mungkin ada sedikit kesedaran dari kelab lain bahawa KL City ada resepi rahsia termasuk taktikal Bojan,” katanya kepada BH Sukan.

Untuk rekod, kali terakhir City Boys menjulang Piala FA ialah pada 1999 selepas menewaskan Terengganu menerusi penentuan penalti 5-3 dan itu juga penampilan terakhir mereka di pentas akhir saingan itu.

Selain itu, Stanley tidak meletakkan angka peratusan peluang KL City untuk memenangi Piala FA dan menyifatkan aksi final adalah berbeza dengan perlawanan dalam liga.

“Kami lihat aksi perebutan piala berbeza dengan liga dan saya merasakan KL City satu skuad yang mengenali final dengan 90 peratus pemain sama kekal dalam skuad. Ada sesuatu yang unik dalam bilik persalianan KL City apabila sampai ke final.

“Peluang atau peratusan untuk JDT menang memang besar, itu tak boleh dinafikan. Selepas (final Piala Malaysia) 2021 kami kalah semua perlawanan dengan JDT, mereka kelab besar dan pemain mereka sinonim dengan kancah besar.

sumber:- BH

“Namun, keunikan final adalah ia pentas yang berbeza. Ia tidak boleh mengikut data atau statistik persembahan kerana final ini boleh melihat satu pasukan cipta kejutan,” katanya.