Pemain Kuching City Zahrul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee dan pengadil perlawanan Mohd Faisal Ridzuan sepatutnya dikenakan hukuman berat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Hal ini kerana, terjahan keras dilakukan Zahrul ke atas Syukri Baharun pada minit ke-88 menyaksikan pemain Perak itu terpaksa berehat panjang apabila difahamkan dia berkemungkinan besar mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanannya.
Sekiranya kemungkinan tersebut menjadi kenyataan, ia nyata sesuatu yang cukup perit untuk dilalui oleh Syukri kerana beliau baharu sahaja pulih sepenuhnya daripada kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) pada lutut kiri.
Lebih malang, pengadil perlawanan terlepas pandang berkenaan kekasaran itu dan tidak melayangkan sebarang kad kepada Zahrul.
Video terjahan itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada peminat-peminat bola sepak tempatan.
“Perancangan Allah itu lebih baik daripada perancangan kita. Kadang-kadang Allah menghalang perancangan kita itu untuk menguji kesabaran kita dan Allah akan memberi yang lebih baik daripada apa kita harapkan. Sabar itu indah,” ujar Yusri Che Lah. di Instagram Story miliknya yang ditujukan kepada Syukri.
Dalam aksi itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus melakar kemenangan 2-1 ke atas Kuching City di Stadium Negeri, kelmarin dan ia juga merupakan tiga mata sulung diraih Perak sejak dibawah kendalian Yusri.
“Syukur kepada Allah untuk kemenangan pertama di bawah kendalian saya walaupun di tempat lawan.
“Pemain-pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kerana kami bimbang Kuching City akan menjaringkan gol pada akhir-akhir permainan seperti mana dua perlawanan terakhir.
“Kami berjaya mereka dengan cukup baik. Kemenangan pada malam ini sesuatu yang baik untuk pasukan,”ujarnya