“Jika bukan kerana mendiang (B Sathiananthan) pujuk saya untuk sertai pasukan kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23) pada 1998 mungkin penyokong bola sepak tanah air tidak akan mengenali siapa Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Itu perkongsian bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal yang mendedahkan bahawa Sathiananthan atau dikenali sebagai Sathia yang memujuknya untuk menyertai skuad Bawah 23 ketika beliau berusia 17 tahun.
Akmal Rizal berkata, mendiang tidak pernah berputus asa apabila sering memujuk dan memberikan kata-kata semangat supaya beranikan diri untuk beraksi di peringkat lebih tinggi dalam karier sebagai pemain bola sepak.
“Saya memang rapat dengan mendiang sejak dia menjadi individu bertanggungjawab mengembangkan karier bola sepak saya ketika berusia belasan tahun.
“Malah, mendiang juga individu yang berjaya mempengaruhi saya untuk beraksi di kelab RC Strasbourg di Perancis pada 1999.
“Mendiang bukan saja bertanggungjawab sebagai jurulatih namun turut berperanan sebagai ayah kerana selalu mengambil berat mengenai pemainnya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, Akmal yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan belia Penang FC turut berkongsi sikap mendiang yang akan memberikan wang kepada pemainnya disebabkan masalah kewangan.
“Tanya siapa saja, sudah pasti mereka tahu mendiang ada beri pinjam atau dahulukan duitnya kepada pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji terutama ketika mengendalikan ATM dan Sarawak United.
“Kehilangannya cukup dirasai dan pastinya kehilangan besar buat arena bola sepak tanah air,” katanya yang kali terakhir beraksi di bawah kendalian Sathia adalah di Kelantan.
Sementara itu, bekas penyerang skuad Harimau Malaya, Safee Sali berkata, walaupun mendiang nampak seperti seorang yang garang dan tegas namun sebenarnya memiliki keperibadian cukup baik.
“Mendiang sangat komited dengan bola sepak dan memberikan segala-galanya demi memartabatkan sukan itu ke peringkat lebih tinggi.
sumber:- HM
“Pemain sering berkongsi masalah dan kesulitan kepada mendiang seterusnya akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya.