sukan

Kogi sah kembali

Jodoh bekas pemain kebangsaan R Kogileswaran bersama kelab liga Divisyen Dua (K2) di Korea Selatan iaitu Chungbuk Cheongjuk tidak berpanjangan apabila dikhabarkan dia akan pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, pemain berusia 25 tahun itu mendapat tawaran daripada pasukan yang berpangkalan di utara tanah air.

Katanya, kemungkinan destinasi menjadi pilihan bekas pemain Sri Pahang FC dan PJ City itu adalah Penang FC dengan dia dijangka menandatangani kontrak bersama pasukan terbabit pada jendela perpindahan kedua ini.

“Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu akan pulang ke Malaysia dan menyertai pasukan berpangkalan di utara tanah air pada baki saingan Liga Super.

“Kita akan tunggu pasukan Liga Super itu membuat pengumuman nanti. Situasi itu sebenarnya bagus kepada pemain terbabit untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya kelak,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pemain yang sudah meledak dua jaringan bersama skuad kebangsaan menjadi individu pertama di negara ini beraksi di K League 2.

Kogi dimaklumkan mengikat kontrak selama setahun bersama kelab yang bermain di liga K2 negara itu. Selain itu, dia juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Singapura, Tampines Rovers namun memilih Liga Korea sebagai destinasi utamanya.

sumber:- HM

Pemain itu juga menjadi individu kedua dari rantau Asia Tenggara dalam saingan K2 di mana sebelum ini ketua pasukan skuad kebangsaan Indonesia, Asnawi Mangkualam, beraksi bersama Ansan Greeners FC.