sukan

JDT dijangka mampu lakukan perkara yang dianggap mustahil

Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh melakukan perkara yang dianggap mustahil atau tak terfikir akal termasuklah mencipta 100 jaringan sebaik saingan Liga Super musim ini berakhir.

Jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah berkata, menerusi kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik JDT akan pastikan pasukannya mencipta rekod yang cukup sukar digugat oleh pasukan lain.

Beliau berkata, walaupun JDT mempunyai baki sembilan perlawanan untuk memperoleh 100 gol bagi musim ini namun jentera serangan skuad Harimau Selatan boleh merealisasikan matlamat terbabit sekali gus muncul pasukan pertama mencipta jaringan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia.

“Berdasarkan kepada baki perlawanan Liga Super sudah pastinya ramai melihat agak mustahil untuk JDT dapat mencipta rekod tiga angka jaringan pada musim ini.

“Namun, TMJ mempunyai cita-cita besar dan sudah pastinya dengan perancangan beliau mampu mencapai angka 100 jaringan. Ditambah pula gandingan mantap jentera serangan mereka yang sukar dikekang pertahanan lawan sudah pasti angka 100 mampu dicapai.

“Kita lihat saja penghujung saingan Liga Super sama ada berjaya atau sebaliknya namun apa yang boleh saya katakan sukar buat pasukan lain untuk mencipta lebih 60 jaringan seperti dilakukan JDT,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan JDT ternyata serba serbi hebat dalam arena bola sepak negara apabila bakal mencipta jumlah jaringan terbanyak dalam tempoh 14 tahun dalam saingan Liga Super.

Hal ini kerana, walaupun sudah mengharungi 17 perlawanan Liga Super, pasukan yang berpengkalan di selatan tanah air itu sudah meledak 67 gol hasil daripada gandingan mantap bahagian serangan mereka.

Jumlah jaringan itu turut memadam rekod yang dilakar Selangor pada musim 2009 apabila skuad Gergasi Merah itu melakar 64 jaringan sebaik saingan liga berakhir.

Angka itu jelas tidak akan terhenti setakat 67 gol memandangkan masih ada lagi sembilan perlawanan bakal diharungi skuad Harimau Selatan dengan mereka ketika ini tidak berdepan sebarang cabaran di persada liga.

Oleh itu, JDT memerlukan 33 gol lagi untuk melengkapkan 100 jaringan dengan purata tiga atau empat gol perlu dijaringkan pasukan itu pada setiap perlawanan Liga Super.

sumber:- HM

Mengikut rekod, jaringan paling banyak pernah dicipta dalam kancah Liga Malaysia adalah sebanyak 66 gol yang dicipta Singapura pada 1994.