sukan

Ikrar mahu gegar stadium

Pemain ke-12 Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar Boys Of Straits (BOS) yang sering menjadi tulang belakang pasukan JDT berikrar menggegarkan Stadium Sultan Ibrahim bagi menyemarakkan lagi semangat juang pemain apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi final Piala FA, Sabtu ini.

Jurucakap BOS, Farwin Johan berkata, lebih 3,500 komrad di bawah naungan BOS akan hadir ke stadium untuk memberi sorakan kepada pemain JDT bagi memastikan dapat mempertahankan kejuaraan dimenangi pada musim lalu.

“Semua komrad yang hadir membabitkan 10 daerah di Johor termasuk dari Singapura yang akan hadir bagi menyuntik semangat pemain Harimau Selatan pada aksi final. Malah mereka tampak tidak sabar berkumpul bersama dan bakal mencetus fenomena luar biasa nanti.

“Kami menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membida untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai pentas final Piala FA dan ia sejarah buat stadium berkenaan yang pertama kali menganjurkan perlawanan bola sepak terbesar di Malaysia selepas Stadium Nasional Bukit Jalil masih dalam proses penambahbaikan.

“Sememangnya teruja dan menanti detik bersejarah Sabtu ini malah kami anggap ianya sejarah tidak dapat dilupakan sampai bila-bila dan mustahil untuk kami bakal merasai suasana itu nanti jika Stadium Nasional Bukit Jalil tidak diperbaiki.

“Untuk memeriahkan lagi lebih daripada 10 dram akan mengiringi nyanyian dan sorakan komrad BOS yang akan berterusan memberi sorakan kepada pemain JDT yang beraksi di padang dan antara tajuk lagu bakal dinyanyikan adalah `Sepenuh Jiwa’ yang merupakan lagu `berhantu’ tatkala berada di stadium,” katanya.

Farwin menambah bagi menaikkan lagi semangat pemain JDT tatkala memasuki pekarangan stadium, komrad BOS akan berada di hadapan pintu gerbang utama Stadium Sultan Ibrahim bagi menyambut kedatangan pemain Harimau Selatan.

sumber:- HM

“Kami mahu pemain melihat sendiri cara kami sambut mereka sebelum mereka melangkah masuk ke stadium dan ia juga memberi aura kepada pemain untuk bermain bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk Johor malah buat semua penyokong JDT,” kata Farwin.