sukan

Baddrol akhirnya sedia buka mulut isu bertanding PRN

Baddrol Bakhtiar berjanji akan membuka mulut dua minggu lagi berkenaan spekulasi tentang dirinya yang dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah bulan depan.

“Bagi saya masa dua minggu lagi untuk menjelaskannya. Buat masa sekarang saya tidak boleh kata apa-apa, minta maaf,” katanya ketika dihubungi.

Tonggak Sabah FC itu membuat penampilan terakhirnya dengan penuh bergaya apabila membantu The Rhinos membelasah Sri Pahang 4-0 di Stadium Likas, kelmarin.

Dalam masa sama, bekas kapten Kedah itu menafikan akan berhenti daripada bermain bola sepak, sebaliknya berkata perlawanan bersama Sabah bukan penamat kariernya dalam sukan tersebut.

Jelasnya, beliau tetap akan bermain bola sepak namun perlu melaksanakan satu misi belum dapat didedahkan pada masa ini.

“Pada malam ini (kelmarin) bukan perlawanan terakhir saya dalam karier bola sepak. Saya tetap akan bermain selepas ini tetapi saya ada satu misi yang saya ingin lunaskan.

Jadi, saya mengharapkan penyokong Sabah mendoakan kejayaan saya selepas ni,” katanya penyerang berumur 35 tahun itu.Sementara itu, Baddrol menyifatkan perlawanan terakhirnya bersama Sabah sebagai satu kenangan yang indah dan tidak dapat dilupakan.

“Saya bersyukur kami Sabah berjaya meraih tiga mata yang penting dan ini perlawanan terakhir saya. Ia satu kemenangan yang tidak akan saya lupakan dan satu momen indah yang saya terima di sini.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada penyokong Sabah, anda semua adalah pahlawan pemain Sabah. Air mata jantan saya jatuh di Likas, saya ingin ucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan,” ujarnya yang telah menabur bakti selama dua tahun bersama Sabah.