sukan

Keputusan Final 100 meter Kejohanan Olahraga Asia

Hasrat untuk melihat jaguh pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi berada di pentas podium Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand tidak kesampaian apabila beliau sekadar menamatkan saingan final 100 meter (m) di tempat kelima sebentar tadi.

Pelari berusia 19 tahun yang bermula di lorong ketujuh menamatkan saingan dengan 10.25 saat (s), catatan yang turut dilakukan wakil Qatar, Femi Aeun Ogunode yang berada di tempat keempat.

Acara final yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai, Thailand itu menyaksikan pelari Jepun, Hiroki Yanagita meraih pingat emas dengan catatan 10.02s yang juga catatan terbaik peribadinya (PB) yang baharu.

Pingat perak dimenangi Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi selepas menemui garisan penamat dengan catatan 10.19s manakala gangsa dimiliki wakil Iran, Hassan Taftian, 10.23s.

Pada saingan separuh akhir sebelum itu, Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), melangkah ke final selepas melakukan catatan 10.35s untuk berada di tempat kedua saringan pertama manakala seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan terkandas ke final.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100m adalah menerusi Watson Nyambek yang membawa pulang perak ketika kejohanan berlangsung di Fukuoka, Jepun pada 1998.

sumber:- BH

Pencapaian terbaik Malaysia di temasya Asia itu adalah pada tahun 2007 apabila meraih dua emas iaitu menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita) dengan pingat terakhir kontinjen adalah pada 2017 menerusi jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin di Bhubaneswar, India.